fbpx

Pendaki Singapura sesat dijumpai selepas hilang lebih 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa yang berjaya ditemui di kilometer 52 Jalan Kota Tinggi - Mersing berhampiran Kubu Jepun di Batu 15

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warganegara Singapura yang sesat selepas mendaki gunung di Hutan Simpan Panti Timur semalam berjaya dijumpai dalam keadaan selamat selepas lebih 24 jam hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, lelaki terbabit Jason Ren Jie, 30 dijumpai di kilometer 52 Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kubu Jepun di Batu 15.

“Pada pukul 2.22 petang, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah menerima panggilan telefon dari orang awam memaklumkan telah menemui seorang lelaki yang disyaki dilaporkan hilang seperti mana yang dihebahkan sebelum ini.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan respond team telah digerakkan ke lokasi penemuan dan menemui mangsa dalam keadaan selamat dan hanya mengalami luka-luka kecil.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan bagi tindakan lanjut kerana tiada
kebenaran dan permohonan permit memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua bagi mengesan kedudukan mangsa telah dimulakan tepat pukul 10 pagi.

Menurutnya operasi pencarian melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Balai Bomba Kota Tinggi, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

“Polis Daerah Kota Tinggi menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi.

“Orang ramai juga perlu mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakkan masuk serta keluar kepada Balai Polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang di kemudian hari,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI