PETALING JAYA – “Jika lapar dan tiada duit untuk makan, beritahu kami.”
Demikian kata-kata yang tertera pada nota di laluan masuk sebuah restoran yang terletak di Cyberjaya, Jom Corner.
Menerusi sebuah klip video yang dikongsikan di TikTok milik Sutha Kanthasamy itu, ia telah menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen tanda sokongan padu kepada pemilik restoran tersebut yang disifatkan sangat prihatin terhadap golongan tidak berkemampuan.
“Kita tahu Cyberjaya kedai makan kat sana makanan tak murah. Terbaik tuan kedai, tahniah,” komen Haridznawi.
“Baik hati tuan kedai ni. Semoga Allah memberkati hidupmu dan dipermudahkan segala urusan,” ujar Azie89 pula.
“Semoga kedai ni dapat ramai pelanggan Ya Allah dan semoga dilimpahkan rezeki selalu,” kata Muhammad Fakhrurrazi.
“Terbaik, inilah contoh anak Malaysia,” balas Vickneswaran5911.
Klip video tersebut telah ditonton lebih 345,900 kali dan menerima sebanyak 1,627 komen oleh pengguna aplikasi berkenaan.- KOSMO! ONLINE.