fbpx

Nevern pertahan pingat emas boling perseorangan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nevern (tengah) memastikan pingat emas boling perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 menjadi miliknya selepas melakukan 1276 jatuhan pin pada acara akhir yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya hari ini.- Kredit MSN

PETALING JAYA – Atlet boling Sabah, Nevern Netaneel Marcellinus bangkit daripada ketinggalan sebelum memastikan pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 menjadi miliknya selepas melakukan 1276 jatuhan pin sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan itu boleh dianggap sebagai penamat sempurna buat atlet berusia 22 tahun tersebut memandangkan edisi kali ini adalah penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij itu.

Meskipun melakukan beberapa kesilapan pada awal saingan, namun ketenangan yang ditunjukkan Nevern selain tumpuan penuh sepanjang saingan membantunya untuk menghadiahkan emas buat Sabah.

“Memang betul saya ketinggalan pada awal saingan, namun apa yang saya buat adalah kekal tenang serta memperbaiki ketepatan balingan. Saya gunakan setiap peluang yang ada untuk bangkit.

“Secara jujur, saya tidak risau walaupun ketinggalan kerana jika sudah ditakdirkan emas itu bukan menjadi milik saya, memang ia bukan rezeki,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu itu menganggap dia seolah-olah memakai dua baju kerana menggalas harapan rakyat Sabah selain turun dengan reputasi besar sebagai atlet kebangsaan.

“Saya akui memang berdepan tekanan cukup tinggi kerana boleh diibaratkan menyarung dua baju, iaitu Sabah dan pasukan kebangsaan. Oleh itu, saya sangat puas hati dengan pencapaian ini,” ujar Nevern.

Mengiringi Nevern di atas podium adalah atlet Pahang, Zainal Haiqal Izwan Suhardi yang memenangi perak dengan 1270 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Muhammad Hariz Adlan Azman dari Pulau Pinang selepas mencatat 1249 jatuhan pin.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI