HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah van dalam kejadian di simpang tiga, Kampung Gurney, Ulu Yam Bharu di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 8.30 malam itu mengakibatkan mangsa berusia 55 tahun tersebut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang dalam perjalanan dari Kampung Gurney ke Desa Kelisa telah membelok ke kanan sebelum dirempuh van dipandu lelaki Myanmar berusia 38 tahun dari arah bertentangan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE