fbpx

Langgar belakang treler punca mangsa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 70.4 Lebuh Raya Utara Selatan pukul 6.35 pagi tadi.

KLUANG – Kereta yang dinaiki melanggar belakang lori treler dipercayai punca empat sekeluarga maut akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner (ACP) Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil siasatan kejadian itu berlaku pada pukul 6.35 pagi di Kilometer 70.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan).

Katanya, kejadian bermula apabila kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 52 tahun terbabas ke tengah jalan selepas hilang kawalan akibat daripada melanggar lopak air.

“Dalam masa sama, sebuah van dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di belakang mengelak daripada melanggar kereta Perodua Myvi berkenaan menyebabkannya terbabas dan berpusing sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan berhenti di bahu kiri jalan.

“Akibatnya, lori treler dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun dari arah perjalanan sama memperlahankan kenderaannya bagi mengelak daripada melanggar kedua-dua kenderaan yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Bahrin lagi, kemudian datang sebuah kereta dinaiki empat sekeluarga dipandu lelaki berusia sekitar 50 tahun yang juga dari arah perjalanan sama melanggar belakang lori treler berkenaan.

Ekoran itu, dua anaknya berusia 20 tahun serta pemandu kenderaan berumur 50 tahun mati ditempat kejadian, manakala isterinya berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

“Mangsa lain yang turut terlibat hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tiga maut, dua cedera manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 70.4 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI