fbpx

Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kelantan capai sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Muhammad Zawawi (tiga dari kiri) bersama kumpulan ibu tunggal yang hadir membeli barangan keperluan PJMKM 2.0 di DUN Tawang, Bachok. - Foto TOREK SULONG

BACHOK – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia 2.0 (PJMKM 2.0) yang dijalankan di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini berjaya mencapai sasaran apabila dapat meringankan beban rakyat terutamanya keluarga miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelaksanaan di peringkat DUN itu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali sebulan telah mencatat nilai jualan sebanyak lebih RM3.4 juta dengan melibatkan seramai 73,266 orang pembeli.

Menurutnya, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bersama pelbagai agensi pertanian memilih lokasi tumpuan petani, nelayan dan miskin bandar dalam usaha melaksanakan program meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan sumber pendapatan peniaga lain.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kelantan merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan PJMKM 2.0 di semua DUN dengan peruntukan sebanyak lebih RM5.6 juta bagi tempoh lima bulan. Daripada jumlah itu, setiap DUN membelanjakan sebanyak RM125,000.

“Program ini menawarkan pengurangan harga barangan sehingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa.

“Selain itu, wakil rakyat setempat turut membantu menambah peruntukan dalam penyediaan barangan keperluan yang lebih murah,” katanya ketika ditemui pemberita pada PJMKM DUN Tawang di sini hari ini.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, barangan keperluan yang boleh diberi potongan harga antaranya ayam, ikan, hasil laut, telur ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan sayur-sayuran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI