PASIR MAS – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membantu aspek kaunseling kepada ibu dan anak kepada ejen kosmetik wanita yang dibawa lari dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, Selasa lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengatur sesi kaunseling untuk membantu aspek emosi keluarga terbabit.
“Kita akan hantar pegawai JKM untuk membantu mereka. Seperti yang kita sedia maklum, mereka sekeluarga terutamanya ibu dan anak mangsa masih trauma dengan kejadian itu.
“Oleh itu, kita akan hantar kaunselor JKM untuk membantu mengurangkan tekanan yang dialami ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelaksanaan Latih Amal/Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Kelantan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang ejen jualan kosmetik wanita yang dikenali sebagai Azi,36, dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di rumahnya di Semat Jal, Tumpat pada Selasa lalu.
Siasatan polis mendapati, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.
Sehubungan itu, polis telah menahan tiga suspek termasuk suami mangsa yang berusia 36 tahun dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dekat sini pada Rabu lalu.
Sementara itu, Siti Zailah yang merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, masyarakat diharap supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan yang dialami keluarga mangsa.
Katanya, beliau khuatir spekulasi itu boleh menganggu dan menjejaskan siasatan polis. – KOSMO! ONLINE.