MANCHESTER – Pemain sayap lincah Manchester United, Jadon Sancho bertekad untuk membuktikan Gareth Southgate membuat keputusan salah meminggirkannya daripada skuad England.
Sancho antara beberapa nama besar selain bek kanan Arsenal, Ben White yang tersisih daripada skuad The Three Lions menghadapi aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Itali dan Jerman bulan ini.
Situasi tersebut pastinya membimbangkan pemain berusia 22 tahun itu kerana ia boleh menjejaskan peluangnya untuk mewakili England ke Piala Dunia Qatar 2022 pada November depan.
“Sudah tentu saya sangat kecewa kerana tidak terpilih. Saya tidak mahu salahkan sesiapa, sebaliknya saya perlu terus bekerja keras untuk buktikan tempat saya.
“Fokus saya tidak terjejas walaupun tidak terpilih kali ini. Sekarang adalah peluang saya untuk tunjukkan kemampuan dengan harapan terpilih ke Piala Dunia nanti,” kata Sancho.
Sancho mengharungi kempen mengecewakan sejak berhijrah ke Old Trafford daripada Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan tinggi bernilai €85 juta (RM386.14 juta) pada Julai tahun lalu.
Berdasarkan statistik musim lalu, Sancho hanya mampu menjaringkan satu gol daripada 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Situasi kini berbeza apabila Sancho dilihat kembali menikmati permainannya di bawah kendalian Erik Ten Hag apabila dia sudah meledak dua gol dalam enam perlawanan pertama EPL musim ini. – AGENSI