PORT DICKSON – Sebanyak enam buah rumah di Kampung Jimah Lama, dekat sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat dan air melimpah dari sungai berdekatan berikutan hujan lebat awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya melakukan pemantauan seawal pukul 7 pagi apabila menerima laporan mengenai air yang melimpah ke rumah di kawasan berkenan.
“Setakat ini, sebanyak enam buah rumah di Kampung Jimah Lama dilaporkan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku sejak awal pagi tadi.
“Bagaimanapun, tiada arahan berpindah dilaporkan akibat trend air mula menurun,” katanya hari ini.
Menurutnya, selain Kampung Jimah Lama, turut terjejas dengan banjir kilat pagi tadi, ialah Kampung Bemban dan Kampung Batu 3, Mambau.
“Diharap penduduk yang berada di kawasan ini agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan amaran yang dikeluarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE