BAGAN SERAI – Dua warga negara Thailand parah, manakala seorang lelaki tempatan cedera ringan setelah terlibat dengan kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM178.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kira-kira pukul 7.48 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi, Honda Civic serta lori jenis Isuzu.
“Kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh lelaki berusia 36 tahun beralamat di Batu Ferringhi telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri terlebih dahulu sebelum dilanggar oleh lori Isuzu dari belakang yang dinaiki pemandu dan kelindannya.
“Mangsa warga Thailand, Saifud Deen Esor, 34, dan Hadibah Dooneedae, 33, berserta Mohamad Amin Awang, 28, dari Tumpat, Kelantan yang menaiki Honda Civic tidak sempat mengelak dan melanggar lori di hadapannya menyebabkan lori itu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mazuki, impak daripada insiden itu menyebabkan pemandu dan penumpang belakang warga Thailand mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri.
“Penumpang di bahagian hadapan mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Perodua Myvi dan pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan,” katanya.
Tambahnya, punca kemalangan adalah disebabkan pemandu kereta Honda Civic gagal mengawal kenderaannya sehingga melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE