SHAH ALAM – Syarikat pengeluar wangian tempatan, Bliese (M) Sdn. Bhd. (Bliese) menyasarkan untuk mencatat jualan sehingga empat juta botol wangian badan terbaharunya Bliese EDP menjelang akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Saiful berkata, produk tersebut adalah inovasi baharu syarikat selepas kemunculan wangian badan tersebut sebelum ini.
Katanya, Bliese EDP itu menawarkan masing-masing pilihan 10 bauan lelaki dan perempuan mengikut personaliti yang tersendiri seperti Classic, Bold, Blomming dan Intense.
“Antara inovasi terbaharu yang dilakukan adalah menambahkan isipadu wangian badan tersebut dari 30 mililiter (ml) kepada 35ml dan dapat bertahan lebih lama sehingga tiga bulan bergantung kepada kekerapan penggunaan.
“Kualiti botol telah ditambah baik dari segi material dan kualiti semburan setelah mengambil pendapat daripada penjual dan pelanggan Bliese.
“Selain itu, pemilihan botol yang berwarna gelap dapat mengekalkan kualiti pewangi itu supaya tidak terkena cahaya matahari secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran wajah baharu Bliese EDP di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut, Bliese turut menyambut ulangtahun ke-tiga syarikat yang kini mempunyai 15,000 usahawan berdaftar di seluruh negara.
Menurut Suhaimi, Bliese EDP diformulasikan menepati spesifikasi pengguna di Asia dengan bahan asas diimport dari Eropah dan bekerjasama dengan ‘perfumer’ terkenal dunia.
Tambahnya, produk tersebut juga selamat digunakan kerana telah mendapat pengiktirafan dari
Persatuan Wangian Antarabangsa (IFRA) serta diiktiraf Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Sebanyak 20,000 unit terjual dalam masa 45 minit selepas pelancaran EDP. Kita juga menawarkan harga promosi bernilai RM49 dalam tempoh sebulan bermula 17 September hingga 17 Oktober ini berbanding harga asalnya RM55,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pihaknya dalam perancangan menembusi Indonesia untuk tempoh setahun akan datang memandangkan negara itu mempunyai pasaran yang 10 kali ganda besar dari negara ini. -KOSMO! ONLINE