MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti belum pasti sama ada penyerang berbisa, Karim Benzema akan diturunkan ataupun tidak menjelang aksi La Liga menentang Atletico Madrid di Wanda Metropolitano awal pagi esok.
Bagaimanapun, beliau tetap mengharapkan pemain antarabangsa Perancis itu cergas sepenuhnya bagi meneruskan rentak kemenangan, sekali gus mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu liga.
Buat masa ini, Benzema dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan otot yang dialami dan bekas pemain Olympique Lyon itu dikatakan tidak mahu terlepas pertemuan El Derbi tersebut.
“Kami masih pantau keadaan Benzema ketika ini sama ada dia boleh mengikuti latihan bersama pasukan ataupun tidak. Saya tahu dia mahu bermain, tetapi kami tidak boleh ambil risiko.
“Sekiranya dia kembali menjalani latihan sekalipun, itu bukan jaminan untuk dia diturunkan. Saya akan buat penilaian terlebih dahulu, jika dia berlatih dengan baik, maka dia akan beraksi,” kata Ancelotti.
Pada masa sama, pengendali dari Itali itu tidak kisah mengenai corak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya memandangkan beliau hanya mahu membawa pulang tiga mata.
“Saya tidak minta pemain-pemain untuk tampilkan aksi yang hebat dan rumit. Apa yang penting adalah saya mahukan permainan ringkas dan dapatkan tiga mata,” ujar bekas pengurus Chelsea itu. – AGENSI