fbpx

Agong berkenan terima menghadap Presiden Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Halimah Yacob di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura, Halimah Yacob di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom hari ini.

Majlis menghadap itu adalah atas titah perkenan Seri Paduka yang kini berada di sana bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menghadiri istiadat pemakaman mendiang Ratu Elizabeth II yang dijadualkan berlangsung esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kedua-dua pemimpin itu menyentuh mengenai pengukuhan hubungan dua hala istimewa dan terjalin erat antara Malaysia dan Singapura sejak sekian lama.

Sesi terbabit berlangsung selama 45 minit bermula pukul 9.30 pagi waktu tempatan.

“Seri Paduka dan Halimah Yacob turut menyentuh berkenaan usaha-usaha kerjasama mendalam antara Malaysia dan Singapura dan pelaksanaan pelbagai skim perjalanan merentas sempadan seperti Skim Laluan Hijau Timbal Balik, Skim Perjalanan Lengkap Vaksin dan Skim Pengaturan Ulang Alik Berkala.

“Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan Perdana Menteri Singapura kepada Baginda untuk berangkat menghadiri Formula 1 Singapore Grand Prix 2022 yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada 1 Oktober 2022,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi Istana Negara malam ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat ke Majlis Resepsi Baginda Raja Britain, Baginda Raja Charles III di Buckingham Palace, London pada pukul 6 petang waktu tempatan hari ini.

“Ia diikuti dengan keberangkatan Seri Paduka berdua ke Westminster Hall, London untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Fadil, Seri Paduka dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 20 September ini selain dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Singapura selama tiga hari bermula pada 25 Oktober hadapan.

“Lawatan negara tiga hari ke Singapura ini telah dijadualkan bermula pada 19 September ini tetapi ditangguh susulan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London, bermula 16 September hingga 21 September ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI