MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dikatakan berjaya mengelak sekurang-kurangnya tujuh percubaan membunuhnya sejak tahun 2012, demikian menurut akhbar Metro News UK kelmarin.
Percubaan terbaharu dilaporkan berlaku minggu lepas apabila kenderaan limousin beliau dikatakan diserang ketika dalam perjalanan.Insiden tersebut menjadi tular menerusi saluran Telegram selepas disebarkan oleh satu akaun tidak dikenali.
Menurut saluran telegram berkenaan, General SVR, kereta yang dinaiki Putin dilanggar oleh
‘dentuman kuat pada roda hadapan sebelah kiri’, diikuti asap tebal.
“Dalam perjalanan pulang ke kediaman rasminya, kereta pengiring pertama telah dihalang oleh sebuah ambulans yang menghadang jalan raya.
“Kereta pengiring kedua mula memecut ke arah limosin Putin sebelum bunyi dentuman kuat pada roda depan kiri didengari.
“Pemandu berjaya mengekalkan limosin di atas jalan raya walaupun hilang kawalan seketika dan berjaya tiba di destinasi dengan selamat,” tulis saluran tersebut.
General SVR mendakwa bahawa maklumat itu berasal daripada sumber dalaman.
Saluran sama juga tidak dapat mengesahkan bilakah percubaan pembunuhan itu berlaku dan siapakah dalangnya.
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dengan tegas menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, felo kanan Pusat Analisis Dasar Eropah, Olga Lautman menegaskan bahawa berita itu cuma khabar angin yang bertujuan ‘mencetuskan panik’.
“Khabar angin cubaan membunuh Putin datang daripada saluran Telegram pelik yang berkemungkinan besar dikendalikan oleh perisikan Russia.
“Berhati-hati apabila menyebarkan maklumat yang tidak mempunyai sumber atau cubaan untuk mencetuskan panik kepada orang ramai,” katanya. – Agensi