fbpx

120 imigran ditemui di dalam treler terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMIGRAN dari beberapa negara ditemui di belakang sebuah treler di Mexico. - Jabatan Kehakiman AS

BANDAR RAYA MEXICO – Lebih 120 imigran termasuk sebilangan remaja bawah umur ditemui dalam keadaan menjerit meminta tolong di dalam sebuah treler yang ditinggalkan di Mexico minggu ini, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kumpulan pendatang izin itu ditemui Rabu lalu selepas seorang rakyat Mexico memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebuah treler yang diletakkan di tepi lebuh raya Matehuala-Saltillo di negeri Nuevo Leon dekat sempadan Amerika Syarikat, lapor agensi berita EFE.

“Anggota-anggota Pengawal Kebangsaan pergi ke lokasi itu dan menemui treler itu yang diletakkan di bahu jalan.

“Apabila menghampiri, mereka menyedari pemandunya tidak berada di sana dan terdengar jeritan dari dalam kenderaan itu,” kata Pengawal Kebangsaan Mexico dalam satu kenyataan.

Anggota-anggota keselamatan berkenaan menemui seramai 121 imigran dari Honduras, Guatemala, Nicaragua, El Salvador dan Cuba disembunyikan di dalam kontena treler itu.

Kesemua imigran terbabit diberi rawatan perubatan dan air minuman sebelum dipindahkan ke stesen imigresen bagi menentukan status sah mereka. Tidak dijelaskan sama ada pemandu treler terbabit telah dikenal pasti.

Kenderaan itu ditemui sebulan selepas Peronda Sempadan Amerika Syarikat (AS) berkata bahawa pihak berkuasa Mexico telah memintas sebuah terler lain yang menuju ke sempadan dengan 150 migran bersesak-sesak di dalamnya.

“Ini terbukti sebagai taktik kejam yang digunakan oleh penyeludup. Nasib baik tiada seorang pun dalam kumpulan imigran besar ini memerlukan bantuan perubatan,” demikian ciapan Ketua Peronda Tempatan, Ejen Jason D. Owens di Twitter.

Pemintasan dua treler itu berlaku hanya beberapa bulan selepas percubaan penyeludupan manusia paling berdarah dalam sejarah AS di mana 53 imigran ditemui mati di belakang sebuah pelantar besar di San Antonio, Texas pada Jun lalu.

Pemandu yang terlibat dalam percubaan itu, Homero Zamorano didakwa pernah mengangkut imigran menggunakan treler sekurang-kurangnya tiga kali sebelum ini.

Kira-kira 750 imigran meninggal dunia ketika cuba menyeberang ke AS sepnjang tahun ini, demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI