KOTA BHARU – Tempoh reman tiga suspek termasuk seorang wanita dan suami kepada ejen jualan kosmetik yang dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada Selasa lalu disambung tiga hari.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Mahkamah Majistret Tumpat dekat sini meluluskan permohonan untuk menyambung reman ketiga-tiga suspek itu bermula hari ini hingga Selasa depan.
“Sebelum ini, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu. Kita telah mendapat kelulusan dari Mahkamah Majistret Tumpat untuk menyambung reman mereka selama tiga hari.
“Perintah tahanan reman terhadap mereka dilakukan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat, Asisten Superitendan Md. Sani Md. Saleh di talian 012-921 6944 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Mohd. Yudi Mohd. Yusuf di talian 012-968 9698.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang ejen jualan kosmetik yang dikenali sebagai Azi,36, dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada Selasa lalu.
Muhamad Zaki berkata, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.
Katanya, sehubungan itu, polis telah menahan tiga suspek termasuk suami mangsa yang berusia 36 tahun dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dekat sini pada Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE