KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera dalam apa situasi sekalipun.
Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, perkara itu harus disegerakan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Isyaratnya adalah jelas dan nyata. Kita tengah tunggu tarikh PRU, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir dan hujan lebat.
“Tetapi kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bubar (Parlimen) masa banjir, (kita) sanggup redah untuk bertanding.
“Seluruh jentera kena turun walaupun masa banjir dan ribut taufan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan bukan hanya kepada penyokong-penyokong tegar parti itu juga perlu dilaksanakan merentasi demokrasi pelbagai bangsa.
“Saya yakin dengan semangat yang ada pada pemuda khususnya jentera Pemuda BN, jentera BN wanita dan juga BN puteri akan rampas semula dengan dominan.
“Jangan lupa kali ini pendekatan kita adalah pemuda wanita dan puteri serta di cawangan-cawangan harus bekerjasama sebagai satu pasukan solidariti BN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE