BESUT – Bagaikan tidak serik, sebuah premis hiburan tidak berlesen diserbu lagi polis di Pulau Perhentian Kecil di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, penjaga premis berkenaan yang merupakan lelaki berusia 27 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sewaktu serbuan dilakukan, muzik didapati telah dimainkan dengan kuat di premis terbabit.
“Sewaktu serbuan, dianggarkan seramai 20 pelancong warga asing sedang bersantai di premis berkenaan.
“Pekerja premis itu kemudiannya ditahan setelah gagal mengemukakan lesen perniagaan dan pusat hiburan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati premis sama pernah diserbu beberapa kali atas kesalahan sama sebelum ini tetapi berselindung dengan menggunakan nama lain.
Tambah beliau, semakan juga mendapati operasi premis tersebut yang tidak pernah diberi lesen hiburan itu pernah menghentikan operasi seketika apabila diserbu sebelum ini.
“Sebuah telefon bimbit jenama Comi dan dua pembesar suara telah dirampas bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 2002,” katanya. – KOSMO! ONLINE