ATLET lompat tinggi wanita negara, Ngu Jia Xin sedikit kecewa biarpun berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Jia Xin, 22, terpaksa akur menunggu lama untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Kemboja 2023 selepas gagal melepasi had ketinggian 1.75 meter (m).
Bagaimanapun, atlet dari Perak itu tetap gembira menjuarai edisi kali ini dengan catatan 1.70m, sekali gus mempertahankan pingat emas dimenangi sewaktu Sukma 2018 di Ipoh.
“Ini Sukma terakhir kerana saya sudah berusia 22 tahun, jadi pingat emas ini memang satu pencapaian baik.
“Jurulatih (Alex Gasparyan) memang sudah beritahu saya untuk dapatkan pingat emas hari ini (semalam). Saya cuba sedaya upaya untuk dapatkannya dengan catatan yang bagus.
“Cuma hari ini saya hanya berjaya lakukan 1.70m. Apa pun, saya akan tetap fokus untuk memperbaiki catatan untuk ke Sukan SEA tahun depan,” katanya.
Pingat perak menjadi milik atlet Terengganu, Tuan Juliana Tuan Hassan dengan catatan 1.65m, manakala pingat gangsa dimenangi Melissa Choong En Xuan dari Pulau Pinang menerusi catatan 1.60m.
Sebagai rekod, Jia Xin yang pernah beraksi pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada tahun ini, mempunyai catatan peribadi terbaik 1.79m yang dilakukannya pada 2019.