fbpx

Pas sedia bersama BN pada PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS Ahmad melepaskan peserta Konvoi Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. FOTO AMREE AHMAD

PUTRAJAYA – Pas memberi bayangan awal bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, kesediaan untuk bekerjasama itu dibuat bagi menolak Pakatan Harapan (PH) untuk menakluk kembali Putrajaya pada PRU-15 nanti.

“Kita (Pas) sedia bekerjasama dengan pihak BN dan kesemua parti Melayu Islam asalkan matlamatnya PH tidak akan berkuasa balik menawan Putrajaya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu melepaskan kumpulan peserta program Konvoi Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi hantaran dalam akaun sosialnya menegaskan Pas menolak kerjasama dengan PH meskipun dijemput demi mengelak ‘mudarat politik’ yang lebih besar.

Mengulas lanjut, Idris menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan Pas masih berdendam dengan PH kerana tidak dipelawa menyertai kerajaan campuran blok berkenaan.

“Tidak, kami (Pas) tidak pernah dendam pun tetapi ini berdasarkan pengalaman perit ditadbir 22 bulan dan kita boleh tanya ramai penjawat awam yang bertugas di sini sendiri,” jelasnya.

Ditanya mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa Pas kini adalah parti kafir kerana mahu bekerjasama dengan UMNO, Idris namun enggan memberi komen lanjut.

Sebaliknya, beliau dalam nada berseloroh meminta pihak media sendiri bertanyakan kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu mengenai maksud di sebalik dakwaan kafir tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI