GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kini telah memasuki ‘gear’ akhir dari segi persiapan parti dan calon untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu membuat persiapan bagi menghadapi PRU-15 secara berperingkat sejak tahun lalu dan kini berada pada fasa terakhir menanti Parlimen dibubarkan.
“Kalau dikira dari segi ‘gear’, kita berada dalam gear terakhir untuk bersiap sedia menghadapi PRU-15.
“Kalau bukan tahun ini, pilihan raya mungkin diadakan awal tahun depan, bacaan kita setakat ini mungkin Oktober ini Parlimen dibubarkan dan selepas itu pilihan raya akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.
Menurut Dominic, kesemua calon-calon yang bakal bertanding mewakili Gerakan termasuk di Pulau Pinang juga telah dikenal pasti.
“Kita juga telah laksanakan sesi temubual bakal calon yang kita rasakan layak untuk mewakili Gerakan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Namun keputusan akhir siapa yang akan menjadi calon akan diputuskan dan diumumkan kemudian kerana sesi perbincangan antara rakan komponen kita masih berlangsung,” katanya.
Beritahunya, Gerakan juga akan memberi peluang kepada calon yang pernah bertanding untuk bertanding sekali lagi dalam PRU-15 kali ini dengan syarat mereka mempunyai ciri-ciri calon yang Gerakan mahukan.
“Ciri-ciri calon yang kita mahukan ialah calon yang boleh menang, boleh diterima masyarakat dan mampu untuk membela rakyat,” katanya.
Sementara itu, Tong Keong pula berkata, Gerakan Pulau Pinang bakal meletakkan calon di lebih 13 kerusi DUN dan lebih empat kerusi Parlimen.
“Wakil calon Gerakan akan memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati rakyat Pulau Pinang antaranya melibatkan isu perumahan, banjir yang sering berlaku dan lain-lain isu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE