KUALA LUMPUR – Kuartet Terengganu muncul juara 4×100 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 sekali gus mengekalkan pingat emas dimenangi sewaktu edisi 2018 di Ipoh, Perak.
Kuartet yang dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Muhammad Hasrul Najmi Badrul, Ruslem Zikry Putra Rosli dan Muhammad Zulfiqar Ismail meraih emas dengan catatan 40.59 saat (s) di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
“Saya sangat bersyukur kerana percaya kepada kami. Ini adalah kuartet 4x100m yang memenangi pingat emas di Perak dan kini sekali lagi kami berjaya meraih kejayaan sama.
“Persatuan Olahraga Terengganu memang ada mencabar kami supaya pertahankan emas dan Alhamdulillah kami dapat melakukannya pada edisi kali ini,” katanya selepas tamat aksi final sebentar tadi.
Kuartet 4x100m Perak turut mencuri tumpuan apabila raja pecut Sukma 2022, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi membuat kebangkitan dramatik daripada ketinggalan jauh untuk menamatkan aksi final sebagai pemenang pingat perak.
Kepantasan yang dimiliki pemegang rekod 100m kebangsaan itu sememangnya tidak boleh dinafikan apabila berjaya memintas pelari terakhir Selangor pada garisan penamat dengan catatan masa 40.95s.
Selangor pula terpaksa berpuas hati meraih pingat gangsa apabila ketinggalan 0.02s sahaja di belakang Perak menerusi catatan 40.97s.
Sementara itu, pingat emas 4x100m wanita menjadi milik kuartet Sabah yang dibarisi Lim Yi Fei, Chelsea Cassiopeura Evali Bopulas, Nur Aishah Rofina Aling dan Patronella Lisong.
Sabah meraih emas dengan catatan masa 46.84s diikuti kuartet Terengganu di tempat kedua (47.42s), manakala Pahang yang diperkuatkan oleh ratu pecut Sukma 2022, Nor Sarah Adi meraih gangsa (47.89s).
“Kami cuba berikan yang terbaik tanpa memikirkan kelebihan pesaing lain. Akhirnya berjaya memenangi emas,” jelas Chelsea. – KOSMO! ONLINE