KUALA SELANGOR – Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara masih rendah berbanding negara lain yang telah naik sehingga lebih 200 mata asas.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini berbeza dengan OPR negara yang pada tahap 2.5 peratus dengan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan 75 mata asas sejak Januari lalu.
“Adakah ini tinggi, saya rasa kalau berbanding dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama sebanyak 6.9 peratus dan suku kedua adalah 8.9 peratus.
“Harus diingati OPR negara sebelum pandemik Covid-19 adalah sekurang-kurangnya tiga peratus sejak 2013. Jadi, masih rendah dan dasar monetari masih lagi akomodatif,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini
Beliau memberitahu, pemahaman rakyat juga harus diperbetulkan bahawa kerajaan tidak memutuskan kenaikan OPR sebaliknya ia ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM.
Jelas Tengku Zafrul, OPR ini adalah di bawah Akta Bank Negara 2009 dan seperti negara-negara lain, kerajaan tidak campur tangan dalam urusan berkatannya.
“Tidak betul kerajaan menentukan OPR. Jadi, saya secara jujur tidak tahu dakwaan sekiranya OPR akan naik lagi.
“Satu lagi salah anggapan adalah kenaikan OPR tiada mengena dengan bank (mengkayakan bank) kerana apabila OPR naik, bank juga kena bayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia merupakan negara paling banyak harga siling untuk harga barangan keperluan asas seperti minyak masak dan tenaga elektrik dengan subsidi mencecah RM80 billion bagi mengawal inflasi.
“Oleh itu, inflasi kita dalam lingkungan 2.8 peratus untuk enam bulan pertama. Inflasi kita adalah paling rendah di rantau ini dan salah satu paling rendah di dunia.
“Dasar monetari secara asasnya kalau seluruh dunia naikan OPR mereka dengan pelabur akan pergi ke negara yang memberikan return (pulangan) tinggi. OPR ini juga akan kurangkan sedikit sebanyak inflasi lalui pengurangan permintaan ( bagi mengelakkan harga naik),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE