PETALING JAYA – Penyanyi dangdut popular Mas Idayu mencuri tumpuan ramai apabila mengenakan kain layah atau ‘veil’ terapung pada majlis persandingannya malam tadi.
Uniknya, veil tersebut terbang kerana diapungkan dengan menggunakan sebanyak 18 biji belon helium besar dan 33 biji belon kecil berwarna putih.
Menurut perekanya, Anas Abdullah, Mas Idayu merupakan individu pertama di negara ini yang menggayakan veil terapung pada hari perkahwinan.
“Mummylah (gelaran Mas Idayu) orang pertama yang mengenakan veil terapung sebegitu di Malaysia. Alhamdulillah sebagai perekanya, saya bangga dan berpuas hati dengan hasil serta respons orang amai.
“Untuk pengetahuan umum, nilaI keseluruhan busana Mummy pada malam tadi piluhan ribu ringgit termasuk baju pengantin perempuan dan lelaki ialah RM42,000 manakala veilnya pula RM12,000,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambahnya, dia juga bersyukur dan teruja dapat bekerjasama dengan pelantun lagu Selangit itu.
“Pada awalnya, Mummy terkejut dan mempersoalkan juga tentang idea veil terapung tersebut tetapi Alhamdulillah dia boleh bawa busana tersebut dengan baik.
“Idea ini tidak pernah dilakukan di Malaysia dan saya juga lihat beberapa rujukan untuk belajar bagaimana nak terbangkan material di udara, jenis fabrik dan cara ikatan.
“Kami lakukan latihan selama tiga hari bersama Mummy sebelum majlis sebenar untuk pastikan idea veil terbang tersebut berjaya,” katanya lagi.
Sementara itu, rata-rata netizen teruja dan memuji keunikan busana pelantun lagu Selangit itu yang pertama kali dihasilkan di Malaysia.
Malah, ada juga yang melabelkan perkahwinannya sebagai Wedding Of The Year untuk tahun ini.
“Kreatifnya idea veil Mummy. Berbeza daripada pengantin lain!” komen netizen.
“Comelnya, belon yang tolong terbangkan veil. Tahniah Mummy!” puji seorang lagi pengguna TikTok.
Biarpun bukan perkahwinan pertama, Mas Idayu tetap berasakan pernikahan kali ini seperti pernikahan pertama mereka. Lebih indah, pasangan itu juga mendapat tajaan dianggarkan RM7 juta, merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori.
Terdahulu, melepaskan gelaran ibu tunggal selama 17 tahun, Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, 50, selamat diijabkabul dengan penerbit stesen televisyen TV3, Muhamad Sufian Isa dalam sebuah majlis di Magica Event Hall di ibu negara.
Pasangan tersebut turut diraikan meriah dalam sebuah majlis persandingan di lokasi sama semalam.
Dia yang terkenal menerusi lagu Robek Hatiku itu mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun kemudian.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – KOSMO! ONLINE