PUTRAJAYA – Kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa berhubung penetapan fatwa melibatkan kenyataan agama yang berbaur politik daripada kalangan pemimpin parti tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, isu yang berkaitan hukum masih lagi tertakluk kepada bidang kuasa jawatankuasa fatwa setiap negeri.
“Perihal fatwa perlu rujuk negeri berkenaan, kerajaan pusat tidak boleh campur tangan kerana hal yang berkaitan agama di bawah senarai bidang kuasa negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Nadwah Ulama dan Ilmuwan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini hari ini.
Seramai lebih 50 peserta terdiri kalangan cendekiawan dan pemikir Islam menyertai program sehari itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Amanat Haji Hadi telah dimasukkan kerajaan dalam Kertas Putih Parlimen pada 1986 sebagai punca umat Islam di negara ini berpecah dengan penyokong bukan Pas dilabel sebagai kafir.
Idris dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 19 Julai lalu memaklumkan hanya Melaka memfatwakan amanat itu sebagai sesat dan tidak perlu diikuti oleh umat Islam negeri tersebut.
Mengulas lebih lanjut, beliau bagaimanapun tidak mahu dilihat menekan pihak jawatankuasa fatwa di setiap negeri untuk segera mewartakan fatwa khusus berhubung isu amanat tersebut.
“Saya tidak mahu campur urusan fatwa setiap negeri kerana isu penetapan fatwa adalah hak negeri berkenaan sendiri tetapi setakat ini cuma Melaka yang mewartakan fatwa itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE