PETALING JAYA – “Saya dah banyak kali cakap tak boleh. Tapi Roslan Shah tetap pujuk saya untuk ke Singapura. Keputusan saya tetap tidak boleh pergi”.
Demikian kata penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah menjawab dakwaan pengacara popular, Roslan Shah yang kononnya telah teraniaya apabila terpaksa membayar ganti rugi berjumlah lebih RM30,000 susulan ketidakhadiran Jamal dalam sebuah festival di Singapura, hari ini.
Jamal, 63, ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia tidak dapat memenuhi jemputan tersebut kerana sudah terikat dengan komitmen lain yang telah dipersetujui lebib awal.
“Saya memang tidak boleh pergi ke Singapura. Saya ingat lagi, ketika itu saya dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu. Roslan hubungi dan pujuk saya. Tapi saya tetap dengan jawapan ‘tidak boleh’.
“Lagipun saya bakal adakan konsert eksklusif di Singapura yang telah telah dipersetujui pada 31 Disember dan 1 Januari 2023 nanti. Konsert ini adalah persembahan berbayar. Saya tidak mahu ganggu penjualan tiket.
“Tapi Roslan tetap pujuk saya dan yakinkan bahawa tiket konsert saya akan tetap habis terjual. Sebab dah malas nak layan orang yang tidak faham bahasa, saya cuma ‘iyakan’ sahaja, namun tidak memberi apa-apa persetujuan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menyentuh tentang kerugian yang ditanggung selepas segala persiapan daripada segi promosi dan tiket kapal terbang dan hotel yang telah dibeli, Jamal berkata pihaknya langsung tidak tahu apa-apa tentang perkara tersebut.
Malah, penyanyi yang diberi gelaran Raja Pop itu yakin bahawa Roslan mempunyai agenda tertentu sehingga beria-ria mahu dia datang membuat kemunculan pada acara pameran tersebut.
“Persoalannya sekarang kenapa Roslan beria sediakan tiket, penginapan dan promosi tanpa persetujuan saya dan mengatakan bahawa saya akan hadir. Sedangkan saya tidak tanda tangani apa-apa kontrak untuk membuat persembahan.
“Saya yakin pasti dia (Roslan) ada agenda tersembunyi. Saya dijemput tanpa sebarang bayaran. Kalau betul-betul nak saya datang, bayar saya. Baru saya akan datang.
“Jangan fikir tekak sendiri. Fikirkan juga kesibukan waktu saya. Sekarang ini saya cakap terus terang apa juga tentang kerugian yang ditanggung, saya sudah beritahu awal-awal saya tidak boleh pergi. Saya memang tidak ada masa untuk pergi dan tidak akan pergi,” tegas Jamal.
Disoal sama ada akan membuat permohonan maaf kepada Roslan, pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu selalu bersedia untuk memohon maaf kepada sesiapa sahaja terutama kepada peminatnya.
Namun, Jamal menegaskan individu yang sepatutnya membuat permohonan maaf adalah daripada pihak Roslan kerana telah memburukkan namanya.
“Permohonan maaf itu bagus. Tapi sepatutnya Roslan yang perlu meminta maaf dengan saya sebab telah memaksa-maksa saya.
“Dia (Roslan) juga telah memburukkan nama saya. Seharusnya permohonan maaf itu datang daripada dia,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal turut berkongsi bahawa dia bakal mengadakan sebuah konsert bertempat di Hotel Tenera di Bangi yang akan turut disertai sebanyak 20 buah bas dari Singapura.
“Dijangka pada bulan November ini, sebanyak 20 buah bas akan datang ke Malaysia dari Singapura untuk menyaksikan persembahan saya di Hotel Tenera selain daripada konsert yang akan diadakan di Singapura pada 31n Disember dan 1 Januari nanti,” katanya.
Terdahulu, Roslan atau mesra disapa cik Lan memuat naik beberapa hantaran dalam InstaStory miliknya apabila mendakwa seolah-olah ditipu oleh Jamal Abdillah apabila tidak hadir ke pameran tersebut seperti yang dijanjikan.
“Kenapa Datuk Jamal Abdillah buat saya begini? Janji harus ditepati. Telefon dan WhatsApp pengurus pun tidak berjawab. Sedangkan semuanya disediakan oleh pihak penganjur.
“Siapa nak bayar ganti rugi? Dugaan saya nak pergi umrah pada 27 September 2022. Tak mengapa, Allah SWT Ada walaupun saya teraniaya,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE