WASHINGTON – Ancaman kemelesetan ekonomi global makin meningkat walaupun bank-bank pusat berusaha untuk menurunkan kadar inflasi yang melambung tinggi, demikian menurut amaran Bank Dunia kelmarin.
Bank berkenaan sebaliknya menyeru kerajaan di seluruh dunia meningkatkan pengeluaran bekalan bagi mengurangkan tekanan di sebalik kenaikan harga.
Inflasi di seluruh dunia meningkat pada kadar terpantas yang pernah dilihat dalam tempoh beberapa dekad, disebabkan kekangan bekalan ketika permintaan melonjak pada era pasca pandemik Covid-19. Masalah bekalan diburukkan lagi pada tahun ini akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan perintah berkurung Covid-19 di China.
Bank-bank pusat utama bertindak balas dengan meningkatkan kos pinjaman untuk ‘menyejukkan’ permintaan’ dan meredakan inflasi.
Bagaimanapun, dalam laporan baharu mereka, pakar-pakar ekonomi Bank Dunia memberi amaran bahawa tindakan menaikkan kos pinjaman mungkin tidak mencukupi untuk mengawal kenaikan harga dan memerlukan langkah lebih drastik iaitu menaikkan kadar faedah.
Namun, menaikkan kadar faedah akan membawa kesan buruk, kata mereka, terutamanya merencatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Banyak negara tidak akan dapat mengelak kemelesetan ekonomi, tetapi kelembapan global dan langkat mengetatkan dasar monetari ‘boleh menimbulkan tekanan kewangan yang ketara dan mencetuskan kemelesetan global pada 2023,’ demikian menurut mereka dalam laporan Bank Dunia.
Dalam senario tersebut, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global akan menjadi perlahan kepada cuma 0.5 peratus pada 2023 iaitu penguncupan 0.4 peratus dalam pertumbuhan per kapita sekali gus memenuhi definisi teknikal kemelesetan global.
“Pertumbuhan global ketara perlahan dan mungkin akan menjadi lebih perlahan apabila lebih banyak negara berada dalam kemelesetan
“Kebimbangan mendalam saya ialah trend ini akan berterusan, dengan kesan berpanjangan dan lebih buruk terhadap penduduk dalam pasaran baru muncul dan di negara-negara membangun,” kata Presiden Bank Dunia, David Malpass dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan-kerajaan supaya ‘mengalihkan tumpuan mereka daripada mengurangkan penggunaan kepada meningkatkan pengeluaran’.
Bank Dunia pada awal Jun lepas mengurangkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.9 peratus, lebih satu mata lebih rendah berbanding anggaran pada Januari 2022. – AFP