TIRASPOL, Moldova – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui cukup puas selepas menyaksikan Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau jaringan dengan membantu pasukan melakar kemenangan 2-0 ke atas Sheriff Tiraspol pada aksi Liga Europa awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, United tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan pertama pada kempen Liga Europa hasil jaringan yang dilakukan Jadon Sancho selain Ronaldo yang menyempurnakan sepakan penalti.
Kata Ten Hag, Ronaldo sememangnya memerlukan gol tersebut selepas dikritik hebat susulan lapan penampilan kompetitif pada musim ini gagal menghasilkan sebarang jaringan.
“Ronaldo sangat memerlukan gol tersebut dan kita boleh lihat pada musim ini dia tidak begitu bernasib baik di depan gawang.
“Namun, pemain lain berusaha keras untuk membantunya menemui kembali sentuhan penyudah dan dia berjaya menyempurnakan sepakan penalti dengan baik,” kata Ten Hag.
Sementara itu, pengendali dari Belanda itu turut memuji prestasi yang ditampilkan oleh Sancho yang menjaringkan gol ketiga peribadinya bersama The Red Devils pada musim ini.
“Sancho turut mempamerkan kualiti yang diharapkan dan sentuhan penyudahnya juga semakin tajam. Secara jujur, saya tidak terkejut dengan kualiti yang ada padanya, tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki,” katanya.
United kini menduduki tangga kedua Kumpulan E dengan
tiga mata selepas tewas kepada pendahulu, Real Sociedad pada aksi pembukaan minggu lalu.
– AGENSI