fbpx

Andre Anura buru pingat emas berganda pada Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDRE berjaya melakukan catatan 7.40m dalam acara lompat jauh, sekali gus meraih pingat emas pada Sukma MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – FARIZ RUSADIO

PEMEGANG rekod lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar menepati statusnya apabila me­raih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan catatan 7.40 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Biarpun catatan itu jauh berbanding rekod kebangsaannya 8.02m, namun Andre tetap berbangga kerana dia berjaya menamatkan penantian enam tahun untuk meraih emas pertamanya dalam acara lompat jauh di pentas Sukma sejak 2016.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menikmati saingan hari ini (semalam) walaupun saya sudah sedia maklum kalau pecahkan rekod (Sukma) tidak dikira.

“Sukar untuk saya pecahkan rekod kebangsaan berdasarkan kondisi saya sekarang. Saya tidak cedera tetapi saya agak bergelut dengan keadaan sekarang.

“Saya tak fikir apa-apa, cuma nak habiskan musim olahraga saya pada tahun ini untuk berikan fokus kepada proses conditioning pula selepas ini,” katanya.

Pingat perak dimenangi atlet Terengganu, Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isam dengan catatan 7.25m, manakala seorang lagi wakil Sabah, Muhammad Sunik Muslimin di tempat ketiga (7.24 m).

Kejayaan itu sememangnya meningkatkan keyakinan atlet dari Sabah tersebut untuk memburu pingat emas kedua apabila turun dalam acara lompat kijang hari ini.

Bagi Andre, dia mahu memberikan lebih tumpuan kepada lompat kijang kerana dia bakal beraksi untuk acara itu dalam empat kejohanan besar tahun depan.

“Selepas ini, fokus saya lebih kepada lompat kijang kerana Luqman (Hakim Ramlan) ada untuk acara lompat jauh.

“Saya nak cuba menang esok (hari ini). Tahun depan saya nak pertahankan pingat emas Sukan SEA (di Kemboja) dan selepas itu saya akan ke Sukan Asia (di Hangzhou, China),” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI