MILAN – Sekurang-kurangnya 10 orang dipercayai terkorban apabila ‘tsunami’ banjir kilat melanda wilayah tengah Itali susulan hujan lebat sejak malam Khamis lalu, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan termasuk wilayah Marche dekat Laut Adriatik. Pegawai-pegawai berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam bencana itu.
Perkhidmatan bomba dan penyelamat kecemasan Itali berkata, sebilangan mangsa turut dilaporkan hilang selepas hujan lebat berlaku di beberapa bahagian di negara itu malam Khamis lalu.
“Ia bukan bom air, ia adalah tsunami,” kata Datuk Bandar Barbara, Riccardo Pasqualini dari wilayah Marche.
Agensi kecemasan berkata, pihaknya menyelamatkan sejumlah penduduk lewat Khamis lalu dan awal kelmarin, termasuk sebilangan individu dari atas bumbung bangunan dan beberapa mangsa yang berlindung di atas pokok.
Anggota-anggota bomba turut mengerahkan beberapa buah bot penyelamat untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas dan di zon banjir seperti Lombardy, Emilia-Romagna dan Abruzzo.
Pegawai perlindungan awam Itali, Stefano Aguzzi memberitahu, jumlah hujan yang turun ternyata lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
Kerosakan banjir paling teruk dilaporkan di bandar pelabuhan Adriatik, Ancona.
“Tiada siapa menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku,” kata Aguzzi. – Agensi