HAIFA – Ketua Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier belum berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan khususnya trio serangan, Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe yang masih belum serasi meskipun meraih kemenangan 3-1 ke atas Maccabi Haifa semalam.
Pada aksi tersebut, PSG tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata berharga hasil jaringan yang dilakukan oleh Mbappe, Messi dan Neymar sekali gus memimpin carta Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara kali ini.
Kata Galtier, banyak peluang keemasan yang diraih oleh jentera serangan disia-siakan sekali gus menyaksikan pasukan tidak boleh melakar kemenangan besar pada aksi kali ini.
“Ini adalah perlawanan yang penting dan kalau boleh kami mahu meraih gol secepat mungkin. Namun, selepas memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol yang disia-siakan, kita pula membiarkan pasukan lawan meledak jaringan.
“Selepas itu barulah pasukan dilihat sedikit tertekan dan nasib baik kita dapat meraih gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama.
“Apa yang pasti, saya mahu pasukan perbaiki sikap lambat panas kerana ia boleh menghukum pasukan memandangkan situasi pada babak kedua agak berbeza kerana kita mendominasi saingan dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Galtier turut mengakui keputusan untuk membuat pertukaran posisi melibatkan Mbappe dan Neymar pada babak kedua banyak membantu pasukan merencanakan serangan lebih baik.
“Saya lihat jentera serangan lebih efisien dengan pertukaran posisi Neymar dan Mbappe kerana pemain tengah kami boleh membuat hantaran dengan tepat kepada mereka,” katanya. – AGENSI