fbpx

Transisi matang Aziz Harun, terokai muzik elekronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN hanya di Malaysia, penyanyi asal Brunei berharap mampu melebarkan pengaruh muziknya ke pentas lebih besar.

LAPAN tahun berkecimpung dalam arena muzik, penyanyi Aziz Harun yang kini bernaung bawah Faithful Music membuktikan kehadirannya masih utuh dan diterima baik peminat Brunei dan Malaysia.

Kali in kelangsungan karier jejaka dari Brunei itu bersambung lagi dengan sebuah single berjudul, Hanya Mahukan Bye ciptaan komposer terkenal, Romeo, Mike Chan dan Faizal Tahir.

Bukan sekadar sebuah karya yang unik, sebagai kelainan, jejaka tampan berusia 24 tahun itu turut mempamerkan transisi matangnya seiring peningkatan usia.

“Hanya Mahukan Bye adalah lagu pertama saya yang berbeza secara total daripada segi genre, konsep dan segala-galanya.

“Sudah tiba masanya untuk saya keluar dari zon selesa.

“Jadi Mike Chan tampilkan dengan konsep muzik elektronik dan saya begitu terkejut apabila mendengarnya.

“Namun selepas beberapa hari saya mendengar susunan nya, ternyata lagu ini sangat istimewa sebab ada muzik elektronik yang saya sendiri tak pernah teroka dalam mana-mana nyanyian saya sebelum ini.

“Tiada langsung bunyi gitar atau piano yang sebati dalam setiap lagu-lagu saya.

“Malah mesej Hanya Mahukan Bye juga sangat berbeza dan boleh dikatakan agak toksik apabila menceritakan kisah lelaki yang tidak mahu berubah, suka mempermainkan hati wanita sehingga termakan dengan kata-kata pujian yang diungkapkan,” katanya.

Selain menyifatkan Hanya Mahukan Bye sebagai karya yang ‘dark’ dan matang, Aziz juga mengaku berdepan kesukaran sewaktu menjalani proses rakaman.

“Dalam lagu ini, ‘key’ nya sangat tinggi untuk saya bawa dan muzik elektronik ini kena ada kelainan.

“Kalau saya menyanyi mengikut ‘key’ yang selesa mungkin penghayatannya tidak sampai ke jiwa pendengar.

AZIZ HARUN menyifatkan single baharunya, Hanya Mahukan Bye sebagai karya ‘dark’ dan unik.

“Saya anggap lagu ini adalah proses eksperimen untuk saya tonjolkan sisi kematangan sebagai penyanyi. Walaupun tidak mudah untuk dibawakan, tapi demi beri kelainan kepada peminat saya cuba rakamkan dengan sehabis baik,”katanya.

Peluang bekerjasama dengan Mike Chan dan Faizal Tahir juga merupakan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan Aziz.

“Saya amat berterima kasih kepada dua insan hebat ini. Walaupun kami pernah bekerjasama dan merakamkan beberapa buah lagu tapi Hanya Mahukan Bye adalah karya yang sangat berbeza pernah mereka hasilkan.

“Tak sabar nak lihat penerimaan pendengar terhadap lagu ini. Jujurnya saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi, sebaliknya saya sekadar nak cuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa.

“Kalau dengar lagu-lagu saya seperti Jangan, Senyum dan Kan, semuanya ada elemen gitar tapi kali ini pendengar akan melihat sisi berbeza,” katanya.

Biarpun memiliki pengaruh luar biasa dan lagu-lagu nyanyiannya meraih jutaan tontonan dalam YouTube, Aziz mengaku masih memiliki impian besar yang belum tercapai.

“Perjalanan selama lapan tahun ini masih baru dan tak sangka sejak kemunculan pada 2014 menerusi lagu Senyum, saya masih dapat bertahan sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya ada banyak lagi karya baru yang ingin saya teroka dan berikan kepada peminat. Saya percaya sekarang adalah waktu terbaik untuk saya terbit dan tulis lebih banyak lagu baru.

“Saya juga berharap dapat menembusi pasaran luar selain di Malaysia. Saya nak cuba tembusi pasaran Indonesia dan antarabangsa.

“Dunia sekarang semakin kecil, lebih-lebih lagi dengan kehadiran media sosial serta platform digital. Ramai penyanyi berpeluang memperkenalkan karya mereka di serata dunia dengan pantas.

“Misalnya penyanyi dari Indonesia, Pamungkas yang juga idola saya berjaya menembusi pasaran Filipina ketika ini.

“Jadi saya juga punya impian dan misi untuk kembangkan karier saya supaya muzik saya dapat didengari di serata dunia,”katanya.

Hanya Mahukan Bye sudah boleh didengarkan di semua platform digital bermula 12 September, manakala muzik video rasmi boleh ditonton dalam saluran YouTube Faithful.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI