KUCHING – Tiga lelaki maut dan seorang wanita cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Batu 12, Jalan Julau-Bintangor, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mathew Many Jonathan, 25, Nelson Chendang, 21, dan identiti dua lagi mangsa termasuk wanita yang cedera parah belum dapat dikenalpasti.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 10.24 malam.
“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan dua buah motosikal.
“Tiga mangsa yang kesemuanya lelaki didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang wanita didapati cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan ambulans Hospital Kanowit.
“Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE