fbpx

Tiada layanan istimewa tahanan libatkan pegawai polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar gambar pada aplikasi telegram berhubung dakwaan layanan istimewa kepada tahanan melibatkan pegawai polis.

SHAH ALAM – Polis Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan adanya layanan istimewa terhadap mana-mana tahanan termasuk tahanan yang melibatkan pegawai polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada sebarang arahan atau kebenaran untuk memberikan layanan seperti didakwa dengan pemeriksaan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dipatuhi.

“Siasatan dijalankan mendapati gambar yang ditularkan tersebut diambil seorang anggota polis yang merakam dari sudut menampakkan kipas angin dihalakan ke sel yang dihuni oleh pegawai tersebut.

“Kipas berkenaan merupakan kipas yang dibekalkan untuk kegunaan anggota bertugas di ruang bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arjunadi menegaskan, seorang anggota polis berpangkat Lans Kopral berumur 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah memberikan apa-apa layanan istimewa kepada mana-mana tahanan di dalam lokap dan tidak akan berkompromi terhadap salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuklah pegawai atau anggota PDRM sendiri,” katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berhubung layanan lima pegawai polis yang ditahan kerana sindiket penglibatan dadah yang kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Berdasarkan kenyataan ditular mendakwa ‘percutian’ mereka dalam lokap tersebut dilengkapi kipas, bantal, makanan, rokok dan segala kemudahan lain yang dikatakan mendapat ‘restu’ daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI