PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh Keluarga Malaysia dengan menyifatkan wajar menjadikan hari istimewa ini sebagai titik tolak menyemarakkan perpaduan.
Pada masa sama, Ismail Sabri juga meminta agar seluruh Keluarga Malaysia terus menjunjung semangat integrasi nasional, kesetiaan kepada raja dan negara bagi mengekalkan kemakmuran dikecapi.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia 2022, kepada seluruh Keluarga Malaysia di mana jua anda berada.
“Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak untuk menyemarakkan lagi perpaduan berteraskan nilai Keluarga Malaysia, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya dalam satu hantaran Facebook di sini tadi.
Perdana Menteri juga berdoa agar Keluarga Malaysia terus menjunjung semangat integrasi nasional, kesetiaan kepada raja dan negara selain terus dipelihara dalam keamanan serta kemakmuran.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga sempat menyampaikan bait-bait indah puisi dalam satu hantaran video bagi menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia yang dirasai seluruh rakyat ketika ini.
Berikut ialah bait-bait puisi tersebut,
Keluarga Malaysia,
Ayuh segera,
Kekal berjuang jiwa membara,
Kita harung arus cita,
Kita daki puncak jaya,
Derap langkah biar senada,
Genderang kejayaan kita palukan,
Kita ini satu keluarga,
Kita ini orang berbangsa,
Malaysia berdaulat penuh muafakat,
Kita kaya budi,
Kita bangsa halus berbahasa,
Kitalah Keluarga Malaysia. -KOSMO! ONLINE