PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik pengumuman kenaikan jumlah pinjaman daripada 75 peratus kepada 100 peratus bagi golongan M40 M1 serta kemudahan pinjaman komputer riba kepada golongan M40.
PTPTN dalam satu kenyataannya berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN berharap inisiatif ini dapat menjadi penyuntik semangat dan dorongan kepada semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh serta mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian.
“PTPTN juga akan memaklumkan kaedah pelaksanaan setelah dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan berkesan kepada peminjam PTPTN,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, PTPTN berkata, bagi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, peminjam yang layak boleh membuat permohonan mulai semalam sehingga 31 Disember depan.
Jelas PTPTN, permohonan tersebut boleh dilakukan secara dalam talian di Portal Rasmi PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama).
“Perkara ini telah diumumkan Perdana Menteri sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai lalu.
“Peminjam boleh merujuk Portal Rasmi PTPTN untuk sebarang persoalan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE