fbpx

Potter kempunan kemenangan pertama bersama The Blues

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STERLING meletakkan Chelsea di hadapan, namun mereka gagal mempertahankan kelebihan itu apabila terikat 1-1 dengan Salzburg awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus baharu Chelsea, Graham Potter menyifatkan kegagalan mereka me­ngutip tiga mata apabila sekadar seri 1-1 menentang RB Salzburg di Stamford Bridge awal pagi semalam adalah disebabkan kelekaan pemainnya.

Potter ternyata kecewa dengan keputusan tersebut sambil berharap anak-anak buahnya mampu meningkatkan lagi persembahan mereka dalam aksi Liga Juara-Juara selepas ini.

“Sudah tentu momentum pasukan terganggu apabila kami dibolosi. Secara ke­seluruhan bahagian pertahanan agak bagus, tetapi masih ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan.

“Namun, saya akui kecewa dengan keputusan perlawanan. Kami menja­ringkan gol yang bagus, tetapi hanyut seketika di babak kedua dan akhir­nya terpaksa berpuas hati dengan satu mata,” kata Potter.

The Blues berada di landasan tepat untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat Potter menerusi jaringan Raheem Sterling pada minit ke-48.

Bagaimanapun, Potter yang baru dilantik menggantikan tugas Thomas Tuchel baru-baru ini, terpaksa akur hanya mampu mengutip satu mata selepas Noah Okafor menyamakan kedudukan buat Salzburg pada minit ke-75.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea kini hanya mengutip satu mata daripada dua aksi Kumpulan E selepas terdahulu tewas 0-1 kepada jaguh Croatia, Dinamo Zagreb minggu lepas.

Bagaimanapun, tugas sukar menanti Chelsea untuk aksi seterusnya apabila perlu berdepan juara Itali, AC Milan yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Dinamo dalam satu lagi perlawanan awal pagi semalam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI