JAKARTA – Sepasang pelancong dari Eropah dikecam netizen Indonesia yang tidak berpuas hati apabila salah seorang daripada mereka membuang air kecil di Gunung Bromo yang terletak di Banjaran Tengger, Jawa Timur, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut laman berita Coconuts, pasangan itu memuat naik video di laman Instagram memaparkan perjalanan mereka ke Taman Negara Bromo.
Dalam satu bahagian video, pelancong lelaki itu dirakam membuang air kecil di puncak gunung berapi aktif tersebut.
Netizen Indonesia mendakwa tindakan itu mengganggu sensitiviti penganut agama Hindu dan suku Tengger yang menganggap gunung itu sebagai tempat suci.
“Kami berasal dari sebuah negara kecil di Eropah sudah biasa di pergunungan. Kami sentiasa berada di luar dan melakukan banyak perkara di luar.
“Kami benar-benar tidak tahu Gunung Bromo adalah tapak suci kepada masyarakat Hindu. Sayangnya di Eropah kami tidak banyak mengenali budaya Hindu dan kurang pengetahuan ketika berada di sini,” demikian permohonan maaf oleh pasangan itu.
Pasangan itu tidak menyatakan mereka berasal dari negara mana. Bagaimanapun, mereka menggunakan bahasa Jerman jadi ‘negara kecil’ yang dikatakan mungkin Luxembourg atau Belgium.
Permohonan maaf itu tidak diterima dengan netizen berpendapat bahawa seseorang perlu mengambil tahu mengenai asas kepercayaan dan adat masyarakat setempat sebelum melancong ke negara lain.
Pasangan itu bernasib baik kerana sudah meninggalkan Indonesia dan jika tidak, mereka mungkin menghadapi masalah dengan pihak berkuasa. – AGENSI