fbpx

‘Mana kami nak cari duit rawat anak?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zarazelah melihat keadaan mata anaknya, Nur Aliesya Qaisara yang rosak akibat penyakit saraf ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Kachang, Kangar baru-baru ini.

KANGAR – Seorang ibu hilang kata-kata apabila melihat anak yang dahulunya aktif dan bijak dalam pelajaran kini seakan pasif selepas disahkan menderita pe­nyakit opticneurhytis atau saraf mata belakang bengkak sejak tiga tahun lalu.

Zarazelah Othman, 35, berkata, anaknya, Nur Aliesya Qaisara Syahrul Nizam, 11, menghidap penyakit itu selepas mengalami demam panas dengan suhu 41 darjah Celsius.

“Ujian lumbar puncture (air tulang belakang) menunjukkan dia mengalami masalah opticneurhytis. Disebabkan penyakit itu, anak saya tidak boleh melihat cahaya kerana dia akan mengalami sakit kepala kronik di sebelah mata kiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Telok Kachang di sini baru-baru ini.

Menurut Zarazelah, ujian di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga menunjukkan tahap penglihatan anaknya kabur selain melihat warna berlainan daripada subjek asal kerana otak tidak mampu memproses isyarat mata.

Tambahnya, Nur Aliesya sebelum ini aktif dalam akademik dan sukan ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Stella Maris sebelum prestasinya merosot dan me­ngalami sesak nafas jika banyak bersukan sejak tiga tahun lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai jururawat untuk menjaga Nur Aliesya.

“Saya buat pelbagai kerja termasuk berniaga, mengambil upah mencuci rumah, melipat baju dan sebagainya bagi membantu suami, Syahrul Nizam Jilani, 38, menyara keluarga.

“Suami merupakan bekas tentera tidak berpencen dan mela­kukan pelbagai kerja se­perti mengambil upah memotong rumput bagi menyara kehidupan kami,” katanya.

Ujar Zarazelah, pendapatan bulanan keluarga tidak menentu dengan anggaran antara RM800 hingga RM900 bergantung kepada kadar upah diperolehi.

Katanya, keluarganya juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

“Buat masa sekarang, apa yang membebankan kami adalah kos perjalanan serta penginapan ketika mendapatkan rawatan anak sulung kami.

“Kami terpaksa berulang-alik bagi mendapatkan rawatan masalah mata lebih 300 kilo­meter setiap minggu ke HPP,” jelasnya.

Orang ramai serta badan bukan kerajaan boleh membantu meringankan beban ditanggung keluarga tersebut dengan ­menghulurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7016525578 atas nama Zarazelah Othman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI