SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersedia menghulurkan bantuan asas dan kewangan sekiranya berlaku banjir seperti diramalkan bermula November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, bermula awal bulan ini lagi semua pejabat daerah LZS telah menyediakan peruntukan dan akan melaksanakan bantuan awal asas sekiranya terjadi bencana alam itu.
“Seramai 300 warga kerja di lapangan telah bersedia dan bergerak bagi proses agihan dalam tempoh ramalan banjir itu.
“Kita turut melantik penolong amil kariah bagi mengenalpasti mangsa terlibat dalam memberikan maklumat berhubungnya supaya proses agihan bantuan asas seperti makanan dan kewangan dapat disalurkan segera,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Kata beliau, pihaknya juga akan memudahkan proses dokumentasi mengikut keperluan semasa dan keseriusan sesuatu bencana alam termasuk banjir.
“Ada bantuan nak cepat dan tidak boleh lambat. Kalau kita buat proses biasa selama 14 hari, banjir sudah surut dan orang sudah pindah namun bantuan tidak sampai lagi.
“Selain itu, saluran bantuan juga akan dilakukan mengikut setiap kes supaya tidak berlaku pertindihan bantuan sama daripada agensi lain kepada mangsa-mangsa banjir khususnya,” ujarnya.
Mohd. Sabirin bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak memperincikan jumlah keseluruhan peruntukkan tersebut dan akan merujuk kepada situasi semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM42.2juta disalurkan bagi bantuan khas banjir bermula Disember tahun lalu hingga Jun tahun ini membabitkan bantuan kecemasan atau bencana alam, sumbangan baik pulih pasca banjir kepada masjid dan surau, keperluan asas rumah serta baik pulih rumah.
“Ini melibatkan 49,413 penerima dengan saluran peruntukan terbesar melibatkan bantuan kecemasan dan bencana alam berjumlah RM28juta,” katanya. -KOSMO!ONLINE