PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang di 11 buah negeri petang ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, MetMalaysia berkata, antara negeri yang terlibat adalah Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di negeri Kedah ia melibatkan kawasan di Langkawi, manakala di Perak membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
“Bagi negeri Kelantan pula, antara kawasan terjejas adalah seperti Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai, manakala di Terengganu ia melibatkan kawasan di Hulu Terengganu, Marang dan Dungun,” kata MetMalaysia.
Untuk negeri Pahang pula kata MetMalaysia, amaran cuaca tersebut dikeluarkan bagi kawasan sekitar Bentong, Maran, Pekan dan Rompin.
“Manakala, di Selangor ia membabitkan kawasan di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, sementara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ia membabitkan keseluruhan kawasan.
“Bagi Negeri Sembilan, ia membabitkan kawasan di Jelebu dan Johor pula ia melibatkan Mersing serta Kota Tinggi,” ujar MetMalaysia.
Beralih ke Sarawak, antara kawasan terjejas adalah seperti Serian (Serian), Samarahan (Samarahan dan Simunjan), Betong (Betong dan Saratok), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu) dan Kapit (Song).
“Untuk negeri Sabah, ia melibatkan kawasan di Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid).
“Keadaan cuaca ini akan berterusan sehingga pukul 9 malam nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE