BENTONG – Hubungan dua hala antara China dan Malaysia akan terus diperhebatkan sekali gus membuka banyak peluang baharu dan manfaat bagi kedua-dua belah pihak.
Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, H.E. Ouyang Yujing berkata, persahabatan yang erat dengan Malaysia akan terus diperkukuhkan termasuklah dalam melibatkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Majlis hari ini sekali lagi menulis bab baharu tentang persahabatan antara rakyat China dan Malaysia dari generasi ke generasi, saya percaya akan semakin banyak cerita mesra seperti ini.
“Tahun depan ialah ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia dan tahun berikutnya akan menjadi ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia,”katanya pada program serahan sumbangan kepada golongan memerlukan di Dewan Terbuka Benus di sini hari ini.
Seramai 150 orang menerima sumbangan pada majlis yang turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram, Kamsani Nasir serta Ketua Kampung Benus, Zaharah Ismail.
Menurut Yujing pelbagai bentuk kerjasama akan terus direalisasikan antara China dan Malaysia pada masa akan datang yang memberi manfaat kepada rakyat negara ini seperti pelbagai kerjasama sebelum ini.
Katanya antara kerjasama yang telah terjalin adalah dalam menghadapi wabak Covid-19 yang mana China dan Malaysia saling membantu dengan bekalan perubatan, berkongsi pengalaman anti-wabak dan menjalankan kerjasama vaksin.
Tambahnya dalam menghadapi banjir yang teruk juga kedutaan China dan perusahaan China di Malaysia giat menjalankan kerja-kerja sumbangan dan pembinaan.
“Hari ini adalah Hari Malaysia dan semua rakyat Malaysia sedang meraikan perayaan yang meriah ini. Ini juga merupakan detik penting untuk menunjukkan keharmonian dan kepelbagaian, perpaduan kestabilan dan kemakmuran semua kumpulan etnik di Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE