TEMERLOH – Trauma selepas dilanda banjir besar yang menenggelamkan Mentakab hujung tahun lalu membuatkan penduduk di daerah itu khususnya di Kampung Batu Kapur mula membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan bencana itu pada penghujung tahun ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata penduduk di kampung itu kini giat membuat rumah rakit bagi menempatkan barang-barang berharga sekiranya berlaku banjir besar.
Seorang penduduk, Mohd. Aris Abdul Aziz, 60, berkata, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk membina rumah rakit, namun pengalaman lalu berdepan banjir besar membuatkan dia mahu bersedia lebih awal bagi mengelak risiko lebih besar.
Katanya, dia mula membina rumah rakit bersama anaknya secara berperingkat sejak Februari lalu dan telah menelan belanja kira-kira RM2,000.
“Cukuplah dengan pengalaman dilanda banjir besar sebanyak dua kali sehingga semua barangan rosak dan dihanyutkan air mengakibatkan kami kerugian ribuan ringgit.
“Bagi rumah rakit ini, ia yang diikat pada pokok besar dan akan menempatkan barangan dan perabot utama rumah ketika berlakunya banjir,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Normah Othman, 54, berkata, dia terpaksa menyediakan bajet awal untuk pembinaan rumah rakit berbanding membeli keperluan lain bagi mengelak kemusnahan harta benda yang lebih teruk.
Katanya, rumah rakit miliknya itu mula dibina sejak Januari lalu dengan menelan kos kira-kira RM7,000 termasuk menggunakan duit bantuan banjir sebanyak RM2,500.
“Rakit ini dibuat secara berperingkat dan mungkin dapat siap sepenuhnya sebelum bulan November iaitu jangkaan berlakunya banjir besar.
“Kami sudah serik dan trauma dengan pengalaman lalu dan mahu bersedia lebih awal pada tahun ini,” katanya.