MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji gol kemenangan Erling Haaland ketika bangkit menewaskan Borussia Dortmund 2-1 pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam.
Guardiola menjelaskan, jaringan daripada penyerang Norway itu mengingatkan beliau kepada sentuhan penyudah yang pernah dilakukan oleh Johan Cruyff dan Zlatan Ibrahimovic sebelum ini.
“Mungkin orang yang mengenali saya tahu betapa besar pengaruh Cruyff dalam hidup saya. Beliau adalah seorang mentor dan menjaringkan gol yang luar biasa buat Barcelona ketika menentang Atletico Madrid di Camp Nou.
“Ketika Erling (Haaland) menjaringkan gol itu, ia hampir sama seperti Cruyff. Ibrahimovic juga pernah mengangkat kaki dengan tinggi, sama seperti dilakukannya dalam aksi ini.
“Jaringan itu berlaku secara semula jadi. Dia (Haaland) mempunyai kemampuan untuk memasukkan bola ke dalam jaring dengan apa cara sekalipun,” kata Guardiola.
Dalam aksi itu, Dortmund terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jude Bellingham yang menanduk masuk gol pembukaan awal babak kedua.
Bagaimanapun, pertahanan City, John Stones berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencangnya dari jarak 20 ela pada minit ke-80.
Haaland memastikan tiga mata menjadi milik The Citizens apbila melakukan penyudah akrobatik dengan melompat tinggi dan menguis bola ke gawang lawan pada minit ke-84. – AGENSI