fbpx

Gejala penyakit pernafasan berbeza bagi setiap orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senaman ringan seperti berjalan dapat meningkatkan peredaran darah dalam tubuh dan menguatkan tisu di sekeliling paru-paru. – Gambar hiasan

BERDASARKAN laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 290,000 hingga 650,000 orang meninggal dunia akibat sakit berpunca daripada selesema atau influenza setiap tahun di seluruh dunia.

Apabila influenza kembali melanda Malaysia dan ditambah dengan Covid-19, ia telah mencetuskan kebimbangan kesihatan awam.

Namun apa yang melegakan, kadar kematian di Malaysia kerana masalah itu lebih rendah berbanding negara lain.

Hal ini mungkin disebabkan kebolehcapaian yang tinggi terhadap suntikan selesema dan vaksin yang memainkan peranan penting dalam proses pemulihan pesakit.

Pakar Perunding Respiratori di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kow Ken Siong berkata, selepas sembuh daripada jangkitan, pesakit Covid-19 dan influenza mungkin mengalami gejala berlarutan seperti keresahan, keletihan dan masalah pernafasan selama beberapa minggu.

Menurutnya, kebanyakan pesakit akan bertambah baik selepas beberapa ketika, namun ada juga yang mengambil masa berbulan-bulan, atau ada kes yang teruk sehingga bertahun-tahun.

“Kajian menunjukkan, terdapat sejenis protein dalam virus influenza yang membantu ia membiak dan merosakkan sel epitelium paru-paru.

“Ia sekali gus menyebabkan pengumpulan cecair dalam paru-paru.

“Sementara itu, jangkitan Covid-19 yang teruk pula boleh menghasilkan parut dan masalah kekal lain dalam paru-paru,” katanya.

Ujar Dr. Ken Siong, kebanyakan pesakit yang berhadapan dengan simptom long Covid dan influenza terdiri daripada warga emas kerana mereka memiliki imuniti yang lemah.

DR. KEN SIONG

Selain itu, orang dewasa yang menghidap sakit jantung atau paru-paru juga boleh berhadapan dengan masalah ini.

Mereka terdedah kepada penyakit respiratori kerana saluran pernafasan lebih sempit.

Dalam hal ini, Dr. Ken Siong menjelaskan, gejala penyakit pernafasan adalah berbeza bagi setiap orang.

Katanya, antara simptom itu adalah rasa letih berlanjutan, kabut otak, sakit kepala berterusan, sakit dada, sesak nafas dan batuk berpanjangan.

Menurutnya, gejala seperti ini boleh dirawat, tetapi mengambil masa.

“Tisu paru-paru akan beransur sembuh daripada parut, tetapi ia mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum fungsi paru-paru seseorang kembali seperti sediakala.

“Perlu diingatkan juga, paru-paru yang sembuh daripada penyakit respiratori akan tetap menghasilkan set gejalanya sendiri dan pesakit akan mengalami ketidakselesaan apabila proses penyembuhan bermula,” jelasnya.

Tambahnya, semasa menjalani rawatan dan terapi, barulah pakar akan menentukan tahap pemulihan seseorang pesakit.

Untuk menguatkan sistem respiratori, pesakit boleh melakukan beberapa senaman mudah di rumah.

Antara senaman yang boleh dilakukan adalah dengan berjalan kaki.

Dr. Ken Siong berkata, walaupun ia merupakan antara senaman paling mudah dilakukan, namun berjalan kaki adalah cara terbaik untuk mendapatkan semula kekuatan.

“Tetapkan matlamat realistik dan mula berjalan dengan perlahan di rumah selama 10 hingga 15 minit.

“Jika anda berasa selesa tanpa sebarang sesak nafas, anda boleh meningkatkannya secara beransur-ansur,” katanya.

Tambahnya, berjalan dapat meningkatkan peredaran darah dan menguatkan tisu di sekeliling paru-paru.

Selain itu, seseorang juga boleh melakukan latihan pernafasan dengan cara menguap sambil tersenyum.

Senaman mudah ini dapat membantu meningkatkan koordinasi dan membina kekuatan pada otot lengan dan bahu.

Ia juga membantu membuka otot di dada untuk membolehkan diafragma mengembang sepenuhnya.

Untuk melakukan latihan ini, seseorang perlu duduk tegak dengan belakang yang lurus serta mendepa tangan sehingga paras bahu dan naikkan sehingga melepasi kepala.

Kemudian buka mulut dengan lebar seperti sedang menguap dan turunkan tangan serta ubah menguap itu menjadi senyuman selama tiga saat.

Kemudian, seseorang perlu mengulangi proses tersebut selama satu minit.

Selain itu, latihan pernafasan lain yang boleh dilakukan di rumah adalah berdengung atau humming.

Melalui cara ini, ia membantu meningkatkan pengeluaran nitrik oksida dan membantu pembinaan serta pembaikan sistem saraf, mengembangkan saluran darah serta menarik lebih banyak oksigen ke dalam paru-paru dengan setiap nafas.

Berdengung juga boleh mengurangkan tekanan kerana ia dapat menenangkan fikiran.

Bagi melakukan latihan ini, perlu duduk tegak dengan belakang yang lurus dan letakkan tangan di sekeliling sisi perut.

Kemudian, pastikan bibir tertutup dan letakkan lidah pada lelangit di dalam mulut.

Seterusnya, tarik nafas sedalamnya secara perlahan melalui hidung dan regangkan jari semasa berbuat demikian.

Pastikan badan dalam keadaan tenang dan apabila paru-paru anda sudah penuh, hembus nafas sambil mendengungkan bunyi ‘hmmm’.

Langkah ini perlu diulangi dengan menarik dan menghembus nafas melalui hidung sambil berdengung dan lakukan gerakan ini beberapa kali.

Tegasnya, simptom setiap pesakit mungkin berbeza-beza.

Justeru, adalah penting untuk mendapatkan nasihat pakar tentang gejala yang dialami oleh seseorang individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI