SEKALUNG tahniah kepada semua pihak apabila penulis membaca laporan-laporan mengenai persiapan yang telah dan sedang dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menghadapi bencana banjir.
Kementerian-kementerian yang berkenaan dilihat menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya dalam menguruskan bencana alam tersebut khususnya berikutan ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pastinya kita semua masih segar di ingatan mengenai banjir besar yang melanda Lembah Klang pada akhir tahun lalu yang sama sekali di luar dugaan sekali gus di luar persediaan pihak-pihak berwajib.
Bukan sekadar Lembah Klang khususnya Selangor tetapi bencana ketika itu turut melanda Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Dianggarkan lebih 70,000 mangsa banjir terkesan dalam kejadian tersebut. Ada yang kehilangan rumah akibat dibadai arus deras, ada kehilangan kenderaan, harta benda, kerosakan perabot, tanaman, ternakan dan lebih memilukan kehilangan orang tersayang.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 54 orang terkorban dalam bencana alam terbabit, manakala kerajaan menganggarkan kerugian keseluruhan akibat banjir yang melibatkan 50 daerah itu mencecah RM6.5 bilion.
Sementara itu sebagai persiapan tahun ini seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat diarah bersedia sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka berlaku bermula November hingga Mac 2023.
Persiapan itu termasuk sebanyak 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi turut digerakkan untuk membantu pemindahan mangsa banjir serta pengagihan bekalan bantuan dan makanan.
Hakikatnya banjir bukan fenomena baharu dan luar biasa bagi negara Malaysia, kita berdepan banjir hampir setiap tahun. Sejarah menunjukkan banjir besar negara seperti Bah Merah yang melanda pada tahun 1926, diikuti banjir pada tahun 1967, 1971, 2006 (Johor), 2010 (Kedah, Perlis), 2014 (Terengganu, Kelantan) dan terakhir tahun lalu.
Melihat kepada pengalaman tersebut, sepatutnya kita semua telah matang dalam menghadapi fenomena banjir ini. Malangnya setiap kali banjir melanda setiap kali itulah kita menyaksikan pengurusan membantu mangsa-mangsa banjir kelam-kabut khususnya melibatkan perpindahan, stok makanan dan pengurusan pusat pemindahan.
Malah, lebih menyedihkan pihak-pihak terlibat menuding jari antara satu sama lain seolah-olah tiada penyelarasan antara agensi kerajaan. Aset-aset canggih yang dimiliki pula tersimpan di stor dan memerlukan pelbagai prosedur dan kerenah birokrasi sebelum dapat digerakkan ke kawasan mangsa banjir.
Tidak cukup dengan itu, sistem telekomunikasi ketika banjir juga menjadi sangat terhad, malah syarikat-syarikat besar yang untung saban tahun berbilion ringgit seakan tidak membuat persediaan jika berlaku bencana menyebabkan ada menara pemancar gagal berfungsi.
Semoga persediaan kali ini mampu menangani apa sahaja bencana dengan lebih baik sekali gus mengurangkan kesengsaraan mangsa-mangsa terlibat.