fbpx

Difitnah, ditipu tak luntur semangat Fezty Edayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FEZTY EDAYU mengakui pada awal mula mengusahakan perniagaan, pelbagai rintangan dan ujian berat terpaksa ditelan sebelum ke tahap ini.

DIFITNAH saudara mara dan kenalan terdekat yang selama ini sangat dipercayai hingga hampir memusnahkan perniagaan yang diusahakan tidak mungkin pernah dilupakan wanita cekal ini.

Manakan tidak, perniagaan yang dibina bertahun lamanya dan bukan mudah untuk dikekalkan hampir jatuh begitu sahaja angkara mulut durjana manusia yang paling dipercayai.

Dituduh menjual produk yang tidak bagus selain boleh merbahayakan si pengguna dan pengasasnya yang ‘jahat’, pemilik nama sebenar Fezty Edayu Kamel mengakui pernah terduduk saat diperlakukan sedemikian rupa.

“Tidak dinafikan ujian, rintangan dan dugaan memang ada sepanjang mennjalankan perniagaan.

“Paling terkesan dan memang buat saya putus asa apabila difitnah saudara terdekat sendiri kononnya saya ini merupakan seorang yang jahat dan tidak baik hingga membuatkan pembeli tidak percaya,” katanya membuka bicara bersama Aura.

SUAMI, Mohd. Fares Rizal Hashim menjadi antara insan terpenting yang banyak menyokong sekali gus memberi suntikan semangat buat Fezty Edayu untuk terus berjaya dalam perniagaan.

Jelas Fezty Edayu, dia sendiri tidak menyangka mengapa boleh terjadinya perkara sedemikian sedangkan dia tidak pernah mengganggu apatah lagi mengusik orang lain.

Ujar anak ketiga daripada enam beradik kelahiran Felda Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan itu lagi, apa yang berlaku membuatkan dia lebih bersemangat dalam menjalankan perniagaan minyak wangi berjenama L’amour Exclusive.

Tidak berhenti setakat itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini memberitahu, pelbagai cabaran lain turut pernah dilaluinya apabila pernah ditipu oleh pengilang dengan kerugian puluhan ribu ringgit.

DORONGAN barisan ejen, pengedar dan kakitangan banyak membantu anak jati Felda Sering Hilir ini dalam menguruskan syarikat yang dibangunkan.

“Ditipu pihak pengilang sebanyak RM10,000 pun pernah saya lalui dan juga pernah dikompaun dengan nilai sama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebelum ini ramai juga pengedar dan ejen di bawah kendalian saya yang sudah berjaya dan di penghujung hari hilang begitu saja dengan mengeluarkan produk mereka sendiri.

“Itu belum staf yang pernah tikam belakang dan beredar terus dari syarikat selain menyalahkan saya kerana tidak pandai menjaga mereka dengan baik. Keluar masuk staf sudah jadi asam garam dalam perniagaan,” ujarnya.

Akui Fezty Edayu lagi, segala ujian yang mendatang langsung tidak pernah sedikit pun melemahkan semangatnya, malah menjadi pembakar dan inspirasi untuknya terus berjaya.

Berkongsi sedikit mengenai titik tolak kepada perniagaan yang diusahakan kini, Fezty memberitahu, sebelum melangkah ke arena mencabar ini, dia sebelumnya pernah bekerja di sebuah kilang sebagai operator selama tujuh tahun.

“Titik tolak yang membuatkan saya mula menjalankan perniagaan adalah kerana bila mana saya lihat perniagaanlah yang boleh membuatkan saya keluar daripada masalah kewangan dan bantu ekonomi keluarga.

“Bermula daripada situlah saya mula fokus dan susun strategi serta ambil keputusan untuk berhenti kerja dan beri perhatian sepenuhnya kepada perniagaan minyak wangi.

“Bayangkan daripada berniaga dari bilik rumah sewa sampailah sekarang sudah berjaya memiliki empat buah kedai di seluruh Malaysia. Alhamdulillah rasa macam mimpi bila kenangkan semula perjalanan penuh liku itu,” tuturnya.

WANITA cekal berusia 33 tahun ini tidak penah menyangka segala usaha dan perit jerih yang dilaluinya dihargai apabila tersenarai sebagai Successfull People In Malaysia baru-baru ini.

Berkat bertahun-tahun berniaga tanpa kenal erti putus asa, Fezty Edayu tidak pernah terfikir apabila tersenarai dan dinobatkan sebagai Successfull People In Malaysia baru-baru ini.

“Sumpah dan jujur saya tak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini. Manakan tidak saya hanya anak felda biasa dan datang dari keluarga yang sederhana sahaja. Bagu saya, ini satu anugerah terindah untuk saya terus mara ke hadapan.

“Kejayaan ini tidak datang bergolek tanpa usaha. Ini adalah untuk anda semua barisan kakitangan dan pengedar serta keluarga yang banyak membantu dalam perniagaan,” katanya sekali gus menutup bicara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI