fbpx

Dibandingkan dengan Siti? Tenang saja – Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAWAB Liza Hanim, dia tidak dapat menutup mulut orang untuk memberi komen apabila ada yang membandingkannya dengan Siti Nurhaliza sejurus persembahan mereka di pentas Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) baru-baru ini.

PETALING JAYA – Selesa melalui hidup dengan tenang membuatkan Liza Hanim enggan melayan kata-kata provokasi yang membandingkannya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika persembahan di Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23), baru-baru ini.

Pemilik nama lengkap Haliza Hanim Abdul Halim itu berkata, perkara tersebut sedikit pun tidak memberi impak memandangkan dia pernah berdepan kecaman lebih teruk sebelum ini.

“Saya sekarang sudah berada pada tahap terpulang orang nak cakap apa, cakaplah. Saya pun pernah berdepan perkara yang paling ‘kejam’, jadi tak ada hal. Saya okey saja. Mulut orang kita tak boleh kawal.

“Baik kita pandang dari sudut positif berbanding memikirkan segala perbandingan yang cuba dibuat segelintir pihak, apatah lagi sekarang bukan masa untuk menilai siapa hebat.

“Apabila orang bercakap mengenainya, itu menunjukkan perhatian dan bagi saya sudah cukup. Tak laratlah nak fikir benda negatif lagi. Kalau penat mereka diam sendiri.

“Kita pun lebih tahu diri serta kemampuan. Hanya jauhari mengenal manikam, jadi tenang-tenang saja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu ditemui media pada majlis santai bersama Liza Hanim dan Shila Amzah bersempena meraikan kemenangan di AIM23 di sebuah restoran, kelmarin.

Terdahulu, persembahan pada malam kemuncak AIM 23 mencetuskan dakwaan mengatakan Siti Nurhaliza adalah satu-satunya pesaing yang mampu membenamkan vokal Liza Hanim di pentas langsung.

Bagi penghibur berusia 43 tahun itu lagi, pengalaman yang diraih sepanjang lebih dua dekad membuatkan dia memberi lebih perhatian terhadap aspek persembahan terbaik.

“Nasihat saya kepada bakat baharu yang berdepan hentaman atau cubaan menggugat semangat, jangan hirau sebaliknya fokus dengan usaha memperbaiki kekurangan.

“Mungkin untuk ke arah itu akan ambil masa agak lama tetapi percayalah apabila sampai waktu, orang akan tetap berpatah balik melihat kualiti bakat yang kita bawa.

“Kita kena yakin peminat muzik juga akan menyedari kelebihan bakat serta usaha jitu yang kita buat andai bermula dengan bakat sedia ada,” katanya lagi.

Liza yang sebelum ini mendedahkan sudah menunggu selama 25 tahun untuk menggenggam trofi AIM membuktikan impian sebegitu dapat direalisasikan walau perlu menanti dalam tempoh panjang.

Pada acara tersebut, dia bersama rakan duet, Shila Amzah membawa pulang dua trofi iaitu menerusi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI