fbpx

Makan belacan tapi beli Louis Vuitton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEBANYAKAN pengguna terutamanya mereka ‘berduit’ melihat produk tempatan sebagai ‘low class’ berbanding jenama terkemuka lain dari luar negara.

Ini terbukti apabila ramai berbangga menggunakan beg tangan jenama import seperti Birkin dan Louis Vuitton berbanding beg tangan rekaan anak tempatan.

Hakikatnya, barangan keluaran tempatan tidak kalah dari aspek reka bentuk berbanding jenama dari luar negara.

Antara jenama Malaysia yang berjaya menempa nama ke pe­ringkat antarabangsa adalah barangan kulit keluaran Bonia, te­lekung Siti Khadijah serta jenama pakaian BritishIndia.

Pensyarah Kanan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia, Dr. Sazrinee Zainal Abidin berkata, pereka tempatan sudah mampu mereka sesuatu produk bersesuaian dengan kegunaan di luar negara.

“Saya melihat pereka-pereka muda tempatan telah memerdekakan minda mereka dalam menghasilkan reka bentuk. Banyak elemen-elemen berkonsepkan Malaysia dima­sukkan dalam reka bentuk.

“Ia selari dengan perjuangan kemerdekaan dan mendaulatkan tanah air tercinta. Kita boleh melihat kesatuan hati Keluarga Malaysia diterjemahkan dalam setiap reka bentuk produk,” katanya.

Bagi memastikan jenama Malaysia terus mendapat tempat di hati masyarakat global, penyelidikan dan pembangunan dalam industri reka bentuk perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Cepat berasa selesa dengan kejayaan terdahulu, tanpa inovasi dan penyelidikan berterusan akan membuatkan sesuatu produk itu tidak mampu bertahan lama dalam pasaran.

Persoalannya, adakah masyarakat di negara ini mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan merasa bangga apabila menggunakan barangan buatan tempatan?

Lihat sahaja masyarakat luar seperti di negara Korea Selatan yang rata-ratanya menggunakan barangan jenama sendiri seperti Samsung dan Hyundai.

Dr. Sazrinee memaklumkan, masyarakat tempatan haruslah sentiasa memperjuang dan mempertahankan persepsi bahawa jenama Malaysia selaku pengeluar produk terbaik.

Orang ramai diseru mengutamakan penggunaan produk tempatan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara yang le­bih pesat.

Ia selari dengan Kempen Beli Barangan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam usaha menaikkan sema­ngat patriotisme, ekonomi domestik, kesedaran kualiti produk dan membantu pengusaha tempatan.

“Setakat Julai tahun ini, negara telah menunjukkan perkembangan perdagangan berjumlah RM252.6 bilion iaitu peningkatan sebanyak 39.8 peratus berban­ding tahun 2021.

“Produk-produk Malaysia dieksport ke negara luar pula adalah RM134.1 billion dari jumlah dagangan keseluruhan sehingga Julai,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, produk tempatan masih ketinggalan dari aspek penjenamaan.

Jelasnya, pemilik jenama tempatan seharusnya memberanikan diri untuk membuat sedikit pelaburan.

“Salah satu kekurangan produk tempatan adalah populariti jenama. Kalau kita cerita pasal kasut, ramai akan memilih jenama Adidas dan Nike.

“Berbeza dengan produk tempatan, ia kurang dikenali sekali gus menyukarkan pengguna tempatan membelinya. Selain itu, saya dapati kualiti produk tempatan masih ada ruang untuk ditingkatkan terutamanya dari aspek pembungkusan,” terangnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI