fbpx

Armenia, Azerbaijan ingkar arahan gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba bertugas di runtuhan sebuah rumah yang dilanda tembakan dalam pertempuran dengan Azerbaijan di penempatan Sotk, Armenia kelmarin. - AFP

YEREVAN, Armenia – Konflik berdarah antara Armenia dan Azerbaijan berterusan kelmarin, sehari selepas hampir 100 askar maut dalam pertempuran meskipun tuntutan gencatan senjata dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum itu, lapor stesen penyiaran CNN. 

Russia dalam satu kenyataan mendakwa telah bertindak sebagai broker dalam gencatan senjata antara Armenia dan Azerbaijan, tetapi usaha itu terbukti tidak bertahan lama.

“Gencatan senjata yang didorong Russia hampir serta-merta dilanggar,” demikian menurut penyelaras Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk Komunikasi Strategik, John Kirby.

Kementerian Pertahanan Armenia kelmarin menuduh Azerbaijan sekali lagi menyerang menggunakan artileri, mortar dan senjata api berkaliber besar yang dilepaskan di tiga bandar negara itu termasuk Jermuk yang terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Dalam satu siri ciapan di Twitter, kementerian itu menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap pertempuran semasa dan sebarang perkembangan pada masa hadapan terletak pada Azerbaijan.

Kerajaan Armenia pada Selasa lalu berkata, sekurang-kurangnya 49 anggota perkhidmatan negara itu terbunuh dalam pertempuran. 

Azerbaijan sementara itu memuat naik ciapan di Twitter kelmarin bahawa beberapa unit tenteranya turut terkena tembakan meriam. 

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanannya berkata, satu kes jenayah telah dibuka terhadap kes dua orang awam yang cedera akibat konflik berterusan dengan Armenia.

“Dua orang awam cedera akibat provokasi besar-besaran yang dilakukan malam 12 September lalu oleh angkatan tentera Armenia. Faktanya kini sedang disiasat,” jelas kenyataan itu. 

Selama beberapa dekad, Yerevan dan Baku terlibat dalam pertikaian mengenai wilayah Nagorno-Karabakh, kawasan di antara Eropah Timur dan Asia Barat yang berpenduduk serta dikawal oleh etnik Armenia, namun terletak di wilayah Azerbaijan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI